Marwan Tidak Gentar Menghadapi Maut
Khalifah Umar bin Khattab baru sahaja dapat beristirehat sejenak bagi menenangkan fikirannya setelah memutuskan satu kes pembunuhan di sebuah mahkamah syariah. Tiba-tiba seorang petugas masuk menghadap beliau dan menyampaikan bahawa ada tiga orang pemuda yang hendak mengadap khalifah untuk mengadukan sesuatu.
"Perkara apa?" tanya khalifah sambil bangkit dari duduknya.
"Menurut mereka perkara pembunuhan, ya Amirul Mukminin!" ujar petugasnya.
"Baiklah, suruh mereka masuk." perintah khalifah.
Tidak berapa lama kenudian masuklah tiga orang pemuda sebagaimana yang dilaporkan oleh petugas tadi. Dua orang daripadanya berbadan kurus dan tinggi, mengiringi seorang pemuda yang berbadan tegap tetapi kelihatannya lesu tidak bermaya, tiada semangat sama sekali. Rambutnya terjurai ke mukanya kerana penutup kepalanya sudah hilang entah ke mana. Keadaannya itu membuat mukanya kelihatan semakin hodoh dan pasi.
Melihat kejadian itu, semua hadirin yang berada di ruang sidang tersebut mengikuti tingkah ketiga-tiga orang pemuda yang baru masuk tersebut. Manakala khalifah Umar dengan sunguh-sungguh memperhatikan mereka bertiga dengan penuh tanda tanya. Setelah mereka duduk di tempat yang disediakan, maka Khalifah Umar bertanya kepada mereka:
"Apa masalah yang kamu semua hadapi?"
Salah seorang dari pemuda yang mengiringi tadi bangun berdiri dan mengucapkan salam takzim kepada hadirin dan menjawb dengan hormatnya.
"Begini, ya Amirul Mukminin! Hamba bernama Abrar bin Harun, dan itu ialah adik hamba, yang bernama Sidik bin Harun!" ujarnya.
"Baik, tetapi apa hubungan kamu berdua dengan pemuda ini?" tanya Khalifah sambil memandang ke arah pemuda yang kusut masai itu.
"Amiril Mukminin, maafkan hamba, hamba akan menerangkan persoalannya kepada Amirul Mukminin dan juga kepada anggota mahakamah yang hadir di sini, itu pun kalau Amirul Mukminin memberi keizinan." ujar pemuda itu.
"Silakan...!" ujar Khalifah Umar.
"Pagi tadi, ayah kami sedang bekerja di kebun. Beliau sedang memetik buah-buahan hasil kebun kami yang sudah masak. Tiba-tiba seketul batu yang besarnya lebih kurang sebesar ponok unta menghentam kepala ayah. Akibatnya kepala ayah kami luka parah dan beliau tersungkur ke bumi!" ujarnya sambil menjelling ke arah anggota sidang yang lain.
"Teruskan...!" kat Khalifah Umar.
"Terima kasih ya Amirul Mukminin! Secara kebetulan pula pada waktu itu kami berdua sedang dalam perjalanan menuju ke kebun untuk membantu ayah kami. Kami amat terkejut kerana kami dapati bahawa ayah kami sudah tidak bernyawa lagi. Kami percaya kematiannya adalah akibat terkena batu tersebut. Sementara itu, kami layangkan pandangan ke arah luar kebun dan terlihatlah oleh kami akan pemuda ini. Rupanya dialah yang melempar akan batu tersebut tepat ke atas kepala ayah kami. " Abrar berhenti seketika sambil menatap geram kepada pemuda yang kusut masai itu.
Khalifah Umar menyuruhnya meneruskan keterangannya, sementara beberapa orang anggota sidang mencatatkan keterangan itu.
" Tanpa berfikir panjang lagi, kami berdua mengejar pemuda ini. Cukup jauh juga kami berkejar-kejaran, akhirnya pemuda ini dapat kami tangkap, lantas kami bawa dia ke mari.
Kini kami mengadukan perkara ini kepada yang mulia Amirul Mukminin dan anggota sidang yang lain, untuk meminta keadilan yang seadil-adilnya menurut hukum Allah," jelasnya lagi.
Khalifah memandang kepada pemuda yang tertuduh itu, kelihatan dia duduk sambil tertunduk kerana ketakutan. Peluh sebesar biji gandum meleleh di pipinya, barangkali kerana cuaca panas atau mungkin kerana terlalu takut.
"Siapa nama kamu wahai anak muda?" tanya Khalifah Umar kepada pemuda yang masih tertunduk itu.
"Marwan, Marwan bin Zain, yang mulia!" jawabnya sambil mengangkat kepala.
"Marwan!Benarkah apa yang dituduh ke atasmu oleh kedua beradik ini?" tanya Khalifah Umar.
" Terima kasih, yang mulia, kalau yang mulia dan anggota sidang yang lain membenarkan hamba untuk menceritakan perkara yang sebenarnya, hamba akan berbuat demekian!" ujar pemuda bernama Marwan tersebut.
"Baik, silakan." ujar khalifah Umar yang menjawat jawatan sebagai ketua hakim.
" Maafkan hamba yang mulia! Benar, benarlah hamba yang melemparkan batu itu, tetapi..." katanya tersekat-sekat.
"Tetapi apa?" tanya Khalifah Umar ingin tahu.


